Tuesday 24 October 2017

Ulasan Kelas ebook

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, dapat juga saya sertai kursus penulisan ebook dengan Cikgu Masayu. Seingat saya sudah dua kali saya bertanyakan mengenai kelas ini, tapi kali ketiga ini barulah impian dapat direalisasikan, terus saja Kak Mas serapkan dalam grup. Dengan masa yang agak suntuk, dalam 3 hari saja untuk menganalisa tajuk yang sesuai kerana 1 Oktober sudah mahu bermula. Alhamdulillah saya memilih Panduan Asas Umrah sebagai tajuk ebook pertama saya. Memandangkan banyak juga pengalaman yang ingin saya kongsikan semasa menunaikan umrah pada akhir Disember 2015 yang lalu. Walaupun hampir 2 tahun, namun saat-saat manis itu masih terpahat di fikiran dan sentiasa tersemat di hati.

Mengenali Kak Mas dari grup ABDR, dengan pengalaman Kak Mas dan juga dalam kesibukan menguruskan keluarga, dengan anak yang ramai dan masih kecil dan juga kelas-kelas online, Kak Mas tanpa mengenal penat lelah masih boleh memberikan komitmen yang tinggi membuatkan Kak Mas sebagai sumber inspirasi saya. Saya pun tertanya-tanya, bagaimanakah Kak Mas menguruskan masanya dengan efektif dan efisien sekali. Kita semua perlu belajar rahsia dari Kak Mas ini.

Berbagai dugaan dan cabaran juga dalam menulis ebook ini, dengan tugasan pejabat yang memerlukan komitmen di akhir tahun ini membuatkan kerja-kerja menulis menjadi sedikit perlahan. Ditambah pula dengan program cuti sekolah. Mungkin saya antara pelajar yang agak lambat dengan tugasan yang diberikan tetapi dengan panduan dari Kak Mas membuatkan bab demi bab dapat saya siapkan. 

Semoga saya dan rakan-rakan lain dapat sampai ke garisan penamat dengan jayanya, Insya Allah.

Salam sayang,

-Azrin-

Thursday 12 October 2017

Ebook Ajar Anak al-Quran

Dalam ebook ini menjelaskan betapa pentingnya untuk anak-anak membaca al-Quran,  salah satunya al-Quran dapat menjadikan manusia yang terbaik.  Inilah salah satu cara untuk menangani masalah gejala sosial pada zaman yang serba canggih ini iaitu kembali kepada al-Quran dan Hadis.

Bukanlah tugas yang mudah untuk mengajar anak, tetapi ebook oleh Ummu  ini lengkap dengan aktiviti dan panduan mudah yang boleh kita ikut dalam memastikan anak mendapat ilmu al-Quran yang berkesan.

Insya Allah akan berjaya dengan doa dan usaha kita semua.


Ebook Anak Seronok Belajar

Kepulanganku dari kerja memang dinanti-nantikan, tapi sebab apa ye? Sebab nak guna telefon mama untuk main games. Inilah masalah yang saya hadapi sekarang.

Selepas ini bolehlah saya mencuba panduan-panduan dari ebook Che Hasnida. Banyak rupanya caranya untuk merangsang anak seronok belajar. Kebanyakan panduan dari penulis ini tidak memerlukan modal yang besar dan ada diantaranya tidak memerlukan modal langsung. Menarik bukan?

Hasnida juga berkongsi konsep tuisyen online yang pada saya satu lagi cara yang bagus untuk membuatkan anak seronok belajar di samping dapat meningkatkan prestasi pembelajaran anak- anak sekaligus menjimatkan masa, tenaga dan kos.

Wednesday 11 October 2017

Ebook Pantang Tradisional

Ebook yang ditulis oleh Syatirah ini memang sangat sempoi sesuai dengan  gelarannya Kak Bidan Sempoi. Baguslah panduan-panduan yang disampaikan dengan bahasa yang ringkas dan mudah difahami. Ebook ini turut dilengkapi dengan pelbagai resipi yang mudah dan menarik.

Ebook yang lengkap dan padat dengan info dari persediaan sebelum kehamilan, semasa hamil, sebelum bersalin hinggalah dalam tempoh berpantang. Terasa jika saya dapat baby lagi, saya akan rujuk pada Syatirah. Sangat sesuai sebagai rujukan ibu hamil dan berpantang.

Ebook Panduan Bisnes Kraf Felt

Ebook hasil penulisan Nurhidayah ini juga menarik hati saya dengan panduan-panduan bagaimana untuk bermula bisnes kraf felt, rupanya untuk memulakan bisnes tidak semestinya memerlukan modal yang tinggi. Apa yang dikongsi oleh Hidayah mengenai gunakan apa yang ada dapat meminimakan kos modal.

Hidayah juga turut berkongsi panduan bisnes secara online dan terdapat langkah demi langkah bagaimana untuk mula bisnes online melalui facebook.

Anda yang terlibat dengan bisnes kraf felt mesti terpaksa memiliki naskah ini.

Ebook Idea Minimalist

Ebook yang ditulis oleh Nurshuhada Abdullah ini sangat mudah untuk difahami. Gaya penulisan yang ringkas membuatkan segala panduan yang dijelaskan senang untuk diikuti.

Idea minimalist yang diketengahkan sesuai dipraktikkan dalam sesebuah institusi keluarga terutama bagi ibu-ibu yang berkerjaya. Sekiranya konsep minimalist ini sentiasa diamalkan, saya percaya ianya dapat mengurangkan tekanan dan memberikan lebih ruang dan masa untuk bersama keluarga seterusnya dapat menjadikan 'Rumahku Syurgaku'.

Saya sarankan agar naskah ini mesti dimiliki oleh semua kerana ianya ringkas dan padat dengan info yang sangat berguna.

Ebook Hamil Anak Pertama

Ebook Bibinormi memberikan lebih kefahaman kepada saya mengenai kehamilan ektopik. Mungkin ada secalit rasa kecewa di atas apa yang berlaku kepada kandungan pertama penulis, namun itu semua adalah ketentuan-Nya yang maha Esa. Dengan doa dan usaha yang tidak putus-putus, alhamdulilah akhirnya Bibinormi mengandung lagi walaupun peluang untuk hamil kali kedua dikatakan adalah tipis dengan sebelah tiup fallapio sahaja, namun semuanya tidak mustahil dengan kuasa Allah SWT.

Membaca pengalaman Bibinormi juga mengingatkan saya mengenai  saat manis sewaktu mengandung anak pertama, terasa saya mahu berkongsi pengalaman hamil anak pertama juga.

Penceritaan pengalaman dalam ebook ini begitu mengujakan sehingga tidak sabar untuk saya mengetahui pengakhiran cerita penulis.